Sekalipun masih dalam
keadaan terlalu muda,
tetapi kerana bakat dan
kebijaksanaannya, kerana
akal dan budi pekertinya,
maka Daud sebelum
meninggal dunia, telah
menetapkan akan
menyerahkan
mahkotanya kepada
Sulaiman. Penyerahan ini
pun terjadilah, sehingga
Sulaiman sekarang ini
menjadi Raja Bani Israel,
menggantikan bapanya
yang sudah tua dan ingin
bersara itu.
Dengan pengangkatan ini,
anak-anak Daud yang lain
merasa tidak senang,
karena merekalah yang
lebih tua, lebih pantas kata
mereka. Perasaan
ketidakpuasan ini, lebih
hebat lagi pada Absyalum,
anak Nabi Daud yang
tertua. Selain tertua ia
banyak pengalaman,
berbadan kuat dan
tangkas, ia tahu pula akan
selok-belok pemerintahan;
tetapi mengapa tidak dia
yang diangkat, padahal
dialah sebenarnya yang
lebih berhak? Dia tidak
senang, dia tidak tinggal
diam. Dengan terang-
terangan dia menyatakan,
bahawa dirinya tidak
tunduk kepada keputusan
bapanya itu dan dia tidak
akan mengakui atas
penobatan Sulaiman
menjadi Raja Bani Israel.
Absyalum bekerja segiat-
giatnya mendekati
bangsanya Bani Israel, ia
bergaul dengan mereka
dengan pergaulan yang
sebaik-baiknya, untuk
menarik hati mereka.
Ditolongnya mereka dan
dikumpulkannya dalam
sebuah organisasi yang
dipimpin sendiri, Dengan
segala daya-upayanya, dia
berikhtiar agar supaya
rakyat yang dipimpinnya
itu hanya tunduk
kepadanya dan mencegah
mereka mengakui
Sulaiman sebagai raja.
Kepada para pengikutnya
itu dicubanya
menanamkan
kepercayaan, bahawa
dialah yang lebih pintar,
lebih berhak menjadi raja,
sedangkan Sulaiman dan
bapanya sendiri adalah
orang yang salah,
kesalahan mana harus
segera diperbaikinya.
Usahanya yang dengan
sungguh-sungguh ini
berhasil pula. Banyak
bangsa Israel telah dapat
diperkudanya. Mereka
tunduk serta patuh
terhadap semua anjuran
dan perintahnya, dengan
tidak menghiraukan lagi
akan perintah Raja
Sulaiman.
Absyalum sekarang
menuju kepada rencana
yang terakhir, iaitu akan
mengadakan perebutan
kekuasaan dengan cara
kekerasan. Segala cara-
caranya sudah
direncanakan, segala
persiapan sudah tersedia,
sedang pengikut-
pengikutnya hanya tinggal
menunggu komando
saja. Di waktu segala
pengikutnya siap sedia itu,
dia minta izin kepada
bapanya untuk pergi ke
desa Jidwan, untuk
beristirahat
menyampaikan nazar
hatinya. Tetapi sebelum ia
berangkat, kepada semua
pengikutnya dia tinggalkan
amanat, bahawa bila nanti
terdengar bunyi trompet,
supaya mereka semuanya
berlarian kepadanya dan
lalu bersama-sama
mengangkatnya jadi raja.
Kerana amanatnya itu
diberikan kepada orang
banyak, maka berita ini
tersiar hampir ke seluruh
rakyat. Keadaan ketika itu
menjadi genting sekali.
Kota Ursyalim ketika itu
menjadi ribut, kegelisahan
memuncak dengan tiba
tiba, orang ramai khuatir,
kalau kalau akan terjadi
kekecohan hebat.
Melihat suasana dan
mengetahui akan niat
Absyalum itu, bukan main
marah dan sedihnya hati
Nabi Daud. Tetapi
kesemuanya itu
ditahannya sekuat-kuat
jiwanya. Dengan tenang
Daud berkata kepada
pengikutnya: Marilah kita
lari saja dari sini, memang
tidak ada cara yang lebih
baik menghadapi
Absyalum yang telah
ganas itu, selain
menghindarkan diri.
Begitulah keesokan
harinya, Nabi Daud
diiringkan oleh semua
pengikutnya serta
keluarganya, bertolak
meninggalkan kota
Ursyalim, menghindarkan
diri dari keganasan
pemberontak yang
menginginkan kekuasaan.
Akhirnya mereka tiba di
pinggir sungai Ardun dan
sungai itu terpaksa
mereka seberangi. Di
seberang sungai itu
mereka berhadapan
dengan gunung yang
tinggi, iaitu gunung Zaitun;
gunung itupun terpaksa
mereka daki dan ketika itu
keluarlah airmata Nabi
Daud kerana sedihnya.
Ketika itu mulailah
didengar oleh Daud, ada
golongan yang menghina
dia, mencaci-maki serta
mengeluarkan kata-kata
yang pedas terhadap
dirinya; sekalipun
sebelumnya mereka
menyanjung serta
memujinya,
membesarkan dan
menghormatinya.
Begitulah umumnya si
rakyat bodoh yang tidak
berpendirian; bila
seseorang sedang
berkuasa, dia dipuja-puja,
sebaliknya bila sudah tak
berkuasa lagi, sekalipun
tidak mempunyai
kesalahan apa-apa, dia lalu
dicaci-maki dan dihina-
dinakan.
Penghinaan itu didengar
oleh Daud dengan sabar,
kerana dia merasa sudah
tua sekali, tidak dapat
berbuat apa-apa lagi,
malah kepada dirinya
sendiri Daud berkata:
Kalau anakku sendiri
sudah berani mahu
membunuhku, apalagi
orang lain, tentu akan
lebih dari itu lagi.
Dengan rasa hina diri dan
tunduk, Nabi Daud berdoa
kepada Allah s.w.t., agar
Tuhan menyelamatkan
dirinya berserta
keluarganya dari segala
malapetaka dan agar Allah
dengan segera
memadamkan
pemberontakan yang
tidak diinginkan ini.
Baru saja Daud sekeluarga
serta pengikutnya
meninggalkan Ursyalim,
Absyalum dengan
tenteranya segera
menduduki ibu kota itu
dengan aman dan
tenteram. Segera
diumumkannya, bahawa
dialah yang menjadi raja
yang sah di negeri dan
bangsa Israel.
Dalam pada itu Nabi Daud
pun tidak tinggal diam
dengan berpangku tangan
dan berdoa saja, tetapi
segera pula menyusun
kekuatan yang ada
padanya, untuk bertindak
memadamkan api
pemberontakan itu.
Beberapa pemimpin
perang yang taat
kepadanya, selalu
dibawanya
bermusyawarah, akhirnya
semua pemimpin perang
Nabi Daud mendapat kata
sepakat akan menyerang
kota Ursyalim yang sudah
diduduki Absyalum dan
tenteranya itu.
Sebelum tentera Daud
berangkat menyerang,
Nabi Daud menasihatkan
kepada mereka, agar
mereka memasuki kota
dengan memberikan
penerangan dan
kebijaksanaan, tidak
dengan kekuatan senjata
dan dinasihatkan pula
supaya mereka sedapat
mungkin jangan
membunuh Absyalum.
Tetapi setelah mereka tiba
di kota Ursyalim,
penerangan dan
kebijaksanaan yang
diperintahkan Nabi Daud
itu tidak berguna sama
sekali. Terpaksalah mereka
mengangkat senjata untuk
mencapai penyelesaian
dengan Absyalum, kerana
hanya itulah satu satunya
jalan, yang dapat mereka
lakukan.
Pertempuran segera
berkobar dengan
dahsyatnya. Tentera
Absyalum hancur
seluruhnya, Absyalum
mati di ujung mata
pedang bersama
tenteranya. Kota Ursyalim
diduduki tentera Nabi
Daud kembali, keadaan
segera menjadi aman dan
tenteram kembali.
Sesudah kejadian itu,
maka Sulaiman tetap
menjadi raja dengan
aman dan tenteram
bertahun-tahun, sehingga
bangsa dan negeri itu
semakin maju dan
makmur, tidak kurang
bahkan telah melebihi
daripada zaman
pemerintahan bapanya
Nabi Daud a.s. Daerah
kerajaannya semakin luas
juga, serta rakyatnya pun
hidup dengan penuh
bahagia, patuh dan taat
kepada perintah rajanya.
Di saat itulah, setelah
Sulaiman sampai umur,
Allah mengangkat
Sulaiman menjadi Nabi
dan RasulNya, untuk
mengisi negara dan
bangsa yang merdeka
dan makmur itu dengan
semangat agama dan
ketuhanan, menjadi
bangsa dan negara yang
diredai Allah, agar
keamanan dan
kemakmuran itu tetap dan
abadi, bukan hanya aman
dan makmur di dunia ini
saja, juga menjadi aman
dan makmur sampai di
akhirat nanti.
Sebagai mukjizat besar
bagi Nabi Sulaiman, beliau
dapat mengerti segala
percakapan burung-
burung dan dengan
menggunakan bahasa
(bunyi) bermacam-
macam burung dan
binatang itu, Nabi
Sulaiman dapat bercakap-
cakap dengan burung-
burung dan binatang-
binatang itu. Dengan jalan
begitu pula. segala burung
dan binatang itupun
semua tunduk dan taat
kepada Nabi Sulaiman.
Diberikan Allah pula
mukjizat yang lebih hebat
lagi kepada Nabi Sulaiman,
ia dapat melihat segala
kekayaan alam yang ada
di perut bumi, baik yang
merupakan emas, perak,
besi dan tembaga, begitu
pula harta kekayaan yang
berada di dalam laut,
seperti intan, mutiara dan
berbagai-bagai pualam
yang mahal-mahal
harganya.
Segala jin dan setan pun
dapat dikuasai oleh Nabi
Sulaiman, sehingga
kekuatan jin dan setan itu
dapat digunakan oleh Nabi
Sulaiman untuk menjadi
kuli, kaum pekerja yang
harus mengeluarkan
semua kekayaan dan
perhiasan sebanyak itu,
guna mendirikan rumah-
rumah dan gedung-
gedung yang bagaimana
juga besar dan cantiknya.
Nabi Sulaiman malah
dapat pula menguasai
angin, sehingga angin itu
dapat dipergunakan oleh
Sulaiman sebagai
kenderaannya, bila
Sulaiman akan berpergian
ke tempat yang
bagaimana jauh dan
tingginya.
Rakyat Sulaiman bukan
hanya makhluk yang
bernama manusia saja
tetapi segala burung,
binatang, jin, setan,
semut-semut dan segala
yang melata di muka
bumi ini, menjadi
rakyatnya yang patuh dan
tunduk di bawah
kekuasaannya.
Dengan kenderaannya
yang bernama angin
itulah Nabi Sulaiman dapat
berpergian ke sana ke
mari memeriksa kerajaan
serta rakyatnya, bahkan
sampai ke negeri Askalan,
beliau sampai pula di
sebuah lapangan luas
yang penuh dengan
semut.
Ketika Nabi Sulaiman dan
tenteranya sampai di
lapangan itu, dari jauh
Nabi Sulaiman telah
melihat semua semut itu
terperanjat benar atas
kedatangannya itu.
Semut-semut itu
berkumpul, di mana
mereka bermusyawarah
bersama-sama,
bagaimana
menghindarkan diri dari
bahaya injakan kaki
tentera Sulaiman. Semua
itu dapat di lihat, didengar
dan difahami oleh Nabi
Sulaiman.
Dengan terang dapat
didengar oleh Sulaiman,
komando semut itu
memberikan perintah
kepada rakyatnya:
Masuklah kamu dengan
segera ke dalam
rumahmu masing-
masing, agar jangan
menjadi mangsa injakan
kaki tentera Sulaiman,
sedang mereka sendiri
tidak merasakannya
Mendengar kata-kata
semut itu, Nabi Sulaiman
tersenyum simpul dan
merasa gembira atas
kesanggupan yang
diberikan Allah kepadanya,
untuk mengerti kata kata
semut itu. Terasalah oleh
Sulaiman, bahawa dia
Nabi sebagaimana juga
Nabi-nabi lainnya dan dia
merasa wajib
memerintahkan kepada
manusia, agar manusia
mengasihi akan semua
binatang yang melata di
bumi ini, jangan sampai
menganiaya dengan
sengaja atau dengan tidak
diketahui.
Ketika itu Nabi Sulaiman
menyembah dan sujud
kepada Tuhan, bersyukur
atas segala nikmat dan
pemberian Tuhan, serta
mendoa agar dia dan
kaumnya dimasukkan
Allah dalam golongan
hamba Allah yang baik.
"Semua ini adalah kurnia
Allah atas diriku untuk
menguji, apakah aku
dapat bersyukur atau akan
berkufur, kata Sulaiman
a.s.