Kerana Daudlah
tercapainya kemenangan
yang gilang gemilang,
yang mempunyai erti
dalam sejarah besar itu
bagi Bani Israel. Dengan
kemenangan ini, nama
Daud menjadi harum
semerbak di seluruh
lapisan rakyat dan
masyarakat, menjadi
sebutan dan buah bibir,
ditambah pula dengan
sifat dan budinya yang
suci. Kecintaan segala
orang melekat pada diri
Daud, kecintaan dan
penghormatan yang
semakin hari semakin
hebat, bukan hanya
terhadap keberanian dan
sifatnya, tetapi segala
gerak gerinya menjadi
tambatan hati manusia
sekelilingnya.
Yang paling tertanam cinta
hatinya terhadap Daud,
adalah Raja Talut sendiri.
Talut belum puas kalau
hanya menghormati dan
memuliakan Daud, kalau
hanya menerima nasihat
dan petunjuk dari anak
muda itu. Lebih dari itu
semua, ia ingin
menjadikan Daud anak
menantunya sendiri,
kerana Talut kebetulan
mempunyai beberapa
anak perempuan yang
masih gadis pula. Yang
tercantik dari anak
gadisnya itu, ialah Mikyal
namanya. Daud lalu
dikahwinkannya dengan
anak gadisnya yang
tercantik itu. Maka dengan
perkahwinan ini, Daud
menerima dua
kemenangan, iaitu
kemenangan dimedan
perang dan kemenangan
dalam perjuangan
asmaranya pula.
Dengan terjadinya
perikatan ini, terikat eratlah
dua kekuatan raksasa
yang susah dihancurkan
oleh musuh. Negara yang
dipimpin oleh Talut
semakin maju dan
makmur, sedang tentera
yang dipimpin oleh Daud,
semakin kuat dan maju
pula. Dalam pada itu
perhatian orang terhadap
diri Daud semakin hebat
dan memuncak juga,
malah semakin
bertambah, sejak dia
menjadi menantu raja.
Beberapa waktu
kemudian, pada suatu
hari, Daud melihat
perubahan pada diri Talut
terhadap dirinya. Setiap
kali dia berhadapan
dengan Talut, dilihatnya
muka Talut kusut dan
masam saja. Kalau Talut
berkata, kata katanya
mulai memperlihatkan
rasa yang tidak senang
terhadap dirinya dan kalau
Talut tersenyum, terasa
ada kepahitan dalam
senyumannya itu.
Daud sangat hairan
melihat perubahan yang
tiba tiba itu. Mulanya
didiamkannya saja,
dijadikannya barang
simpanan dalam hati
kecilnya, sambil dia
melihat perkembangan
selanjutnya. Tetapi
ternyata kepadanya,
bahawa perasaan Talut
yang demikian itu, bukan
perasaan yang hanya
seketika, tetapi rupanya
sudah menjadi isi hati
yang tidak dapat
dinyahkan lagi, malah
perasaan benci dan
dengkinya terhadap Daud
semakin bertambah.
Daud merasa hairan,
bukankah dia sendiri telah
menyerahkan dirinya
untuk mengabdi kepada
rajanya dan bukankah dia
sendiri dicintai dan sebagai
menantunya pula? Apakah
gerangan yang telah
menyebabkan demikian
rupa perubahan dalam
hati Talut terhadap
dirinya? Hal ini benar
benar susah diteka dan
dibayangkannya. Tetapi
menjadi teka-teki yang
paling ajaib, menjadi
tanda tanya yang paling
besar dalam kalbunva
yang suci murni itu.
Keadaan semakin cerewet
dalam pandangan Daud.
Dia tidak tahan lagi untuk
menyimpan teka-teki
besar ini dalam dirinya.
Dia ingin bertanyakan hal
itu kepada isterinya, kalau
kalau isterinya mengetahui
akan duduknya perkara,
sebab Daud percaya,
bahawa isterinya tetap
cinta dan kasih
kepadanya, sebagai
kecintaan dan kasih
sayang dia terhadap
isterinya itu.
Pada suatu hari, ketika
Daud hanya berdua saja
dengan isterinya di dalam
sebuah kamar, Daud
berkata kepada isterinya
itu:
Ya Mikyal, isteriku yang
tercinta. Saya tidak tahu,
apakah saya ini tersalah
dalam rabaan saya
ataukah benar, apa
betulkah apa yang saya
rasakan ini, atau tidak
betul, bahawa saya
melihat perubahan besar
perhatian bapa kita
terhadap diriku seakan
akan bapa kita menaruh
perasaan yang tidak enak
terhadap diriku ini. Bukan
saja gerak geri dan kata
katanya, tetapi juga
pandangan matanya
terhadapku selalu
mengandung rasa benci
dan curiga saja.
Bagaimanakah
pandanganmu terhadap
hal yang kukemukakan
ini?
Mikyal seorang wanita
yang masih muda,
sebagai anak yang tinggi
pengetahuannya, baik
budi dan dalam
perasaannya, tentu tahu
akan kewajipannya. Dia
cinta kepada suaminya,
tetapi perlu pula cinta dan
hormat kepada orang
tuanya sendiri.
Bagaimanakah dayanya
menghadapi dua hal yang
saling berlawanan ini?
Apakah akan
bersembunyi sembunyi
untuk menjaga
kewajipannya terhadap
bapa dan pula terhadap
suaminya? Berat
fikirannya sebelum
menjawab pertanyaan
suaminya itu. Tetapi
ketulusan jiwa dan
keikhlasan batinnya,
memaksa dia untuk
berterus terang apa yang
dirasakan dan dilihatnya.
Mikyal lalu menjawab:
Saya tidak akan
sembunyikan apa yang
kuketahui ya Daud,
suamiku. Saya tidak akan
tutup tutup kepadamu hal
hal yang tidak engkau
ketahui. Adapun bapaku,
sejak bangsa Bani Israel
mencintai dan
menghormatimu dengan
kecintaan yang sehebat
itu, setelah melihat
bahawa tiap tiap kata kata
perintahmu ditaati oleh
bangsa kita seluruhnya
dan kedudukanmu makin
tinggi dalam
pemandangan mereka
semua, bapaku irihati dan
dengki. Takut kalau kalau
kekuasaan yang ada
ditangannya sekarang ini,
berpindah ke tanganmu.
Sekalipun bapaku itu
termasuk orang yang
beriman kepada Allah
dengan segala keikhlasan
keimanan dan termasuk
salah seorang yang
berpengetahuan tinggi
serta bijaksana, raja besar
yang disegani oleh setiap
raja; tetapi di hari yang
akhir-akhir ini, saya juga
melihat sebagai apa yang
engkau lihat itu. Bapaku
ingin mengenyahkan
engkau, memperkecil
akan pengaruhmu,
bahkan kalau dapat akan
membuangmu dari
pergaulan hidup.
Sebab itu, saya ingin
menasihatkan kepadamu,
agar engkau sejak
sekarang berjaga jaga
dengan keselamatan
dirimu sendiri. Menurut
fikiranku, untuk
menghindarkan bahaya
yang mungkin tiba itu,
adalah sebaik baiknya
engkau menjauhkan diri
dari sini.
Berkata pula Daud:
Bukankah aku ini askar
biasa, tidak ingin merebut
kedudukan raja yang
kutaati dan
kupertahankan, apalagi
aku ini adalah seorang
Mukmin yang penuh
iman. Sungguh Talut
menurutkan pengaruh
syaitan saja, menurutkan
hawa nafsu atas
kekuasaan dunia.
Keputusan untuk
berangkat sebagai
dinasihatkan isterinya itu,
belum diambil oleh Daud,
dia masih tetap di situ
sekalipun dengan keadaan
seperti berdiri di atas bara
yang bernyala nyala. Tiba
tiba pada suatu hari Talut
memanggil Daud datang
menghadap kepadanya.
Setelah Daud datang, Talut
berkata:
Hari ini aku mendapat
khabar yang sangat
berbahaya. Bangsa Kanan
dengan tenteranya yang
besar dan kuat, telah
mulai menyerang negeri
kita, Tidak ada yang dapat
mempertahankan
keselamatan negeri kita ini,
selain engkau sendiri.
Ambillah pedang dan
perisaimu, kumpulkanlah
tentera tentera yang kamu
pilih, pergilah berangkat
sekarang juga
menghalaukan musuh itu.
Engkau tidak boleh
kembali pulang, kalau
tidak dengan membawa
kemenangan.
Daud merasa, bahawa
perintah ini sangat
berbeza dengan perintah
perintah yang biasa,
Mungkin ini suatu cara
untuk melenyapkan dia
dari permukaan bumi ini.
Tetapi sungguhpun
begitu, kewajipannya
sebagai tentera, hanya
mentaati dan menjalankan
perintah yang sudah
dikeluarkan oleh jeneral
dan rajanya sendiri.
Dengan tentera yang
terbatas, Daud berangkat
kemedan perang
menghadapi musuh yang
besar itu. Dengan
pertolongan Allah, dia
menang dalam
peperangan itu, musuh
dapat dikalahkannya
dengan bertekuk lutut.
Kemenangan yang sangat
besar ertinya ini, bukan
membulatkan
penghargaan dari Talut
terhadap Daud, tetapi
menambah berkobarnya
perasaan dengki dan
bencinya.
Demikianlah kalau ingin
berkuasa di dunia ini telah
terpaku terhunjam dalam
jiwa seseorang, perasaan
suci dan keimanan dapat
terdesak olehnya, bila
kesucian dan keimanan itu
tidak dipupuk dan diasuh,
apabila kalau kekuasaan itu
berada di tangan seorang
yang kotor batinnya dan
tidak ada keimanan sama
sekali. Kerana nafsu yang
di kobar kobarkan oleh
hasutan syaitan ini, Talut
menetapkan cara untuk
mengenyahkan Daud,
sekalipun dengan cara se
kejam dan sejahat
jahatnya. Dia sudah
menetapkan akan
membunuh Daud dengan
pedangnya sendiri.
Kehendaknya ini sekalipun
disembunyikan, tetapi
dapat juga diraba oleh
anaknya (Mikyal) yang
jauh pemandangannya
itu. Hal ini dengan segera
disampaikannya kepada
Daud. Sambil
berlinangkan airmata ia
berkata kepada Daud:
Saya lebih sengsara
rasanya, kalau engkau
terbunuh mati
dihadapanku sendiri.
Sebab itu, sekalipun agak
berat; saya minta agar
engkau segera melarikan
diri meninggalkan rumah
dan aku untuk menjaga
keselamatan dirimu dan
pula diriku sendiri.
Setelah berfikir sejurus,
akhirnya Daud pun tidak
mempunyai jalan lain
yang lebih baik dan aman,
selain melarikan diri. Dia
pergi dengan perasaan
yang tidak dapat
dibayangkan dengan pena
dan kata kata. Pemergian
ini menggemparkan
bangsa Israel seluruhnya.
Pemergian yang tidak
dijangkakan oleh mereka
terlebih dahulu. Di antara
keluarga dan orang orang
yang cinta kepada Daud,
menyusul Daud dari
belakang.
Mulanya sedikit saja orang
yang mengikutinya, tetapi
akhirnya semakin ramai
juga. Kebencian terhadap
Talut semakin meluap
dikalbu rakyat banyak,
yang insaf dan sedar.
Sekarang rakyatlah yang
baik dan suci, raja dan
pemimpinlah yang kotor
dan jahat. Setelah banyak
orang yang lari ke pihak
Daud, semakin geramlah
Talut kerananya, tetapi
juga disusul oleh
tenteranya sendiri. Hampir
seluruh anggota tentera,
sekarang berpihak kepada
Daud yang berada dalam
pelarian itu.
Kedudukan Talut semakin
lemah dan goyang, Tidak
ada lain jalan bagi Talut,
selain dengan segera
menyerang Daud yang
semakin kuat itu, sebab
kalau terlambat, maka
kejatuhannya sudah tentu
dan kemenangan Daud
sudah pasti pula. Semua
kekuatan yang ada
padanya, dikerahkan
untuk menyerang dan
membunuh Daud.
Rencananya ini diketahui
oleh Daud. Daud bersiap
dan tetap menjaga
kesabaran dan keimanan
dalam dadanya.
Dengan berbagai cara,
Daud ikhtiar untuk
menghindarkan
pertempuran sesama
bangsa. Dia berpesan agar
Talut kembali kepada
kebenaran, menjauhkan
segala syak wasangka
yang tak beralasan itu,
tetapi semua ini sia sia
belaka. Kalau Daud tidak
bertahan dan melawan,
mungkin kebenaran akan
hancur, sedang nafsu
serakah akan
bermaharajalela. Dia
terpaksa menggerakkan
pertempuran,
menghadapi lawannya
yang tidak kenal damai itu.
Tentera Talut sekarang ini
berhadapan dengan
tentera Daud. Dari
seorang utusan, Daud
mengetahui di mana
sekarang ini Talut berada.
Seketika Talut dan
tenteranya di dalam
kepenatan dan lelah,
berhenti dan tidur di
sebuah tempat
pertahanannya, dengan
diam diam Daud berjalan
mendekatinya. Dalam
keadaan tertidur dan
terlengah itu, Daud
berhasil mengambil
lembing perang yang
berada di tentangan kepala
Talut yang sedang tidur.
Talut tidak dibunuhnya,
tetapi lembing itu saja
yang diambil dan
dibawanya. Alangkah
terperanjatnya Talut
setelah dia terbangun dari
tidurnya, bahawa
lembingnya sudah tidak
ada. Dia marah sekali
terhadap tenteranya dan
bertanyakan di mana
lembingnya sendiri.
Dalam keadaan panik dan
kacau itu, tiba tiba
dihadapan Talut muncul
seorang lelaki membawa
lembingnya yang hilang
itu dan berkata kepada
Talut di hadapan semua
kaum dan tenteranya:
Inilah lembingmu yang
hilang itu. Saya ini utusan
Daud, datang ke mari
mengembalikan lembing
ini kepadamu dan lembing
ini diambil oleh Daud ke
mari tadi, ketika kamu
tidur. Dia tidak bermaksud
membunuhmu, hanya
diambilnya saja lembing
ini, dengan harapan
dengan kembalinya
lembing ini kepadamu,
kembali pula keinsafan
dan kesedaran atas
salahnya tindakan yang
kamu ambil.
Kata kata utusan Daud ini
berpengaruh besar dalam
jiwa Talut, airmatanya
keluar. Nampak benar
sesalnya atas tindakannya
selama ini. Nampak pula
sesal hatinya yang telah
berbuat khianat kepada
Daud, seorang suci yang
berjasa dan menantunya
pula. Talut menangis
tersedu sedu, dia teringat
telah banyak membunuh
orang orang yang
melarikan diri kepada
Daud, membunuh ulama
ulama dan pembesar
pembesar bawahannya
sendiri. Sedar dia akan
besarnya dosa yang
diperbuatnya, terbayang
di matanya seksa apa pula
yang akan diterimanya
dari Allah di alam akhirat
nanti. Pertempuran tidak
terjadi. Talut bersama
tenteranya kembali pulang
membawa kemenangan
yang berupakan sesal dan
kesedaran. Di rumah, dia
tanggalkan semua pakaian
kerajaan dan
kebesarannya. Dia
bertafakur menghadapkan
muka dan jiwa kepada
Allah semata, minta
ampun dan taubat dengan
hati yang setulusnya.
Begitulah kerjanya setiap
hari, lain tidak. Akhirnya
badannya menjadi lemah
juga. Dengan mulut yang
tidak kering keringnya, ia
minta taubat dan
mensucikan nama Tuhan,
dia meninggal dunia,
pulang ke rahmatullah!
Seluruh rakyat dengan
spontan berkerumun di
sekitar Daud dan
mengangkat Daud
menjadi raja mereka. Di
bawah pemerintahan
Daud, Kerajaan Bani Israel
maju pesat, aman dan
makmur dengan rakyat
yang berhati takwa
kepada Allah, sehingga
kerananya, rahmat dan
nikmat Allah terus
menerus turun sebagai
dicurahkan dari langit!