Malam berikutnya, sang
Raja memerintahkan
kepada Abu Nawas
untuk meneruskan
kisah-kisah aneh dan
ajaib, yang menjadi
kegemaran sang Raja.
Abu Nawas menjawab,
“Dengan senang hati,
wahai raja yang baik
dan bahagia...”
Hamba mendengar,
wahai Raja yang
bahagia, pelayan itu
menceritakan kepada
raja Cina bahawa
pemuda itu berkata:
Gadis itu duduk di
kedaiku dan membuka
tudung penutup
wajahnya. Ketika aku
melihatnya, jantungku
berdetak keras.
Gadis itu bertanya,
“Apakah engkau
mempunyai kain?”
Aku menjawab, “Tuan
puteri, hamba adalah
orang miskin, tetapi
tunggulah hingga para
pedagang lain membuka
kedai mereka, dan aku
akan mengambilkan
kain yang engkau
inginkan.”
Kami duduk bercakap-
cakap sebentar, dan
aku mula merasakan
hasrat yang sangat
besar terhadapnya.
Ketika para pedagang
mula membuka kedai
mereka, aku bangkit
dan mengambil kain
yang dipesan gadis itu,
hingga mencapai harga
lima ribu dirham. Gadis
itu memberikan kain-
kain yang dipesannya
pada si pengawal dan
terus menaiki keldai
betinanya, lalu pergi
tanpa memberitahukan
di mana dia tinggal.
Kerana merasa terlalu
segan untuk menyebut-
nyebut tentang wang di
hadapan seorang
wanita yang begitu
cantik, aku memberi
jaminan pada para
pedagang itu bahawa
barang-barang mereka
senilai lima ribu dirham
akan segera kubayar.
Lalu aku pulang, dalam
keadaan mabuk cinta,
dan selama seminggu
tidak dapat makan atau
pun tidur....
Tiba-tiba fajar pun
menyingsing. Abu
Nawas terdiam, lalu
sang Raja berkata,
“Ceritamu benar-benar
aneh dan indah!” Abu
Nawas menjawab,
“Esok malam ceritanya
lagi menarik dan lagi
indah.”