Malam berikutnya, sang
Raja memerintahkan
kepada Abu Nawas
untuk meneruskan
kisah-kisah aneh dan
ajaib. Abu Nawas
menjawab, “Dengan
senang hati, wahai raja
yang baik dan bahagia...”
Dikisahkan, wahai sang
Raja, pelayan itu
menceritakan kepada
raja Cina bahawa
pemuda itu berkata:
Ketika si pengawal itu
datang, aku
menyambutnya dengan
mesra dan murah hati,
dan ketika aku
menyoalnya tentang
majikannya, dia
menjawab, “Dia sedang
mabuk cinta
kepadamu.”
Lalu aku bertanya
padanya, “Siapakah
sebenarnya gadis itu?”
Dia menjawab, “Dia
salah seorang dayang
yang bertugas melayani
Zubaidah, isteri Khalifah,
yang mengasuh dan
membesarkannya. Demi
Tuhan, dia mengatakan
pada majikannya
tentang dirimu dan
memohon padanya agar
mengahwinkannya
denganmu, tetapi
Zubaidah berkata, “Aku
tidak akan
mengahwinkannya
denganmu hingga aku
mengetahui apakah dia
kacak atau tidak, dan
apakah dia sesuai
untukmu atau tidak.”
Aku akan membawamu
ke istana sekarang
juga, dan jika engkau
berjaya memasukinya
tanpa terlihat oleh
sesiapa pun, engkau
boleh mengahwini gadis
itu, tetapi jika
ketahuan, engkau akan
kehilangan kepalamu.
Bagaimana?”
Aku menyahut, “Aku
bersiap sedia untuk
pergi bersamamu.”
Lalu dia berkata,
“Apabila malam tiba,
pergilah ke masjid yang
dibina oleh Zubaidah di
sungai Tigris.”
Aku menyahut,
“Baiklah.” Lalu aku pergi
ke masjid, melakukan
solat Isyak dan tidur di
sebelah luar masjid.
Sebelum fajar
menyingsing, datanglah
beberapa orang pelayan
dalam sebuah perahu,
dengan kotak-kotak
kosong, yang mereka
simpan di dekat masjid
dan kemudian mereka
pergi. Tetapi salah
seorang di antara
mereka tinggal di
belakang, dan ketika
aku mengamatinya lebih
teliti, aku mendapati
bahawa dia adalah si
pengawal yang telah
mendatangiku sebelum
ini.
Tidak berapa lama
muncul pula gadis itu
dan segera
mendekatiku. Aku
bangkit menyalaminya,
dan dia duduk bercakap-
cakap denganku,
dengan air mata
bercucuran. Lalu dia
mengarahkan aku
masuk ke dalam salah
sebuah kotak dan
menguncinya dari luar.
Tak lama kemudian
para pelayan tadi
kembali lagi dengan
segala macam benda
yang terus
dimasukkannya ke
dalam kotak-kotak itu
hingga mereka selesai
mengisinya semua dan
menguncinya. Lalu
mereka meletakkan
kotak-kotak itu di
dalam perahu dan mulai
mengharungi sungai
menuju istana Zubaidah.
Aku segera menyesali
apa yang telah
kulakukan, sambil
berkata kepada diriku
sendiri, “Demi Tuhan,
celakalah aku,” dan
terus menangis dan
memohon kepada
Tuhan untuk
membebaskanku hingga
perahu itu tiba di pintu
gerbang istana khalifah.
Lalu para pelayan itu
mengangkat kotak-
kotak tersebut,
termasuk kotak di
mana aku berada di
dalamnya. Mereka
membawanya melalui
tepi sungai di mana para
pengawal bertugas
menjaga perahu hingga
mereka sampai pada
seorang pengawal yang
nampaknya adalah
pemimpin mereka.
Ketua pengawal itu
bangkit dari duduknya....
Tetapi fajar
menyingsing. Abu
Nawas terdiam, lalu
sang Raja berkata,
“Ceritamu benar-benar
aneh dan indah!” Abu
Nawas menjawab,
“Esok malam ceritanya
lagi menarik dan lagi
indah.”