Malam berikutnya, sang
Raja memerintahkan
kepada Abu Nawas
untuk meneruskan
kisah-kisah aneh dan
ajaib, yang menjadi
kegemaran sang Raja
untuk
mendengarkannya. Abu
Nawas menjawab,
“Dengan senang hati,
wahai raja yang baik
dan bahagia...”
Dikisahkan, wahai sang
Raja, pelayan itu
menceritakan kepada
raja Cina bahawa
pemuda itu berkata:
Seminggu kemudian
para pedagang
mendatangiku,
meminta wang mereka,
tetapi aku merayu
mereka agar menunggu
hingga seminggu lagi.
Seminggu kemudian
gadis itu datang selepas
Subuh, menaiki keldai
betina dan diiringi oleh
pengawal dan dua orang
hamba.
Dia memberi salam
padaku dan setelah
duduk di dalam kedai,
berkata, “Aku
terlambat
membawakanmu wang
untuk kain-kain itu.
Panggillah seorang
penukar wang dan
terimalah wang ini.”
Aku memanggil seorang
penukar wang, dan
menukarkan wang
untuk diberikan kepada
para pedagang. Lalu dia
dan aku duduk
bercakap-cakap hingga
kedai-kedai buka, dan
pada saat itulah aku
membayar hutangku
pada setiap pedagang.
Lalu gadis itu berkata
padaku, “Tuan,
ambilkan aku ini dan
itu.”
Aku segera
mengambilkan apa-apa
yang diinginkannya dari
para pedagang, lalu dia
mengambilnya dan
pergi, tanpa
mengucapkan sepatah
kata pun mengenai
pembayarannya. Aku
mula menyesali apa
yang telah kulakukan,
sebab harga dari apa
yang telah kubeli
untuknya adalah seribu
dinar, dan aku berkata
kepada diri sendiri:
“Sungguh sukar! Dia
memberiku lima ribu
dirham tetapi telah
mengambil barang
seharga seribu dinar,
sedangkan para
pedagang itu berurusan
denganku dalam soal
pembayaran. Tidak ada
kekuatan dan
kekuasaan, kecuali di
tangan Tuhan, Yang
Maha Kuat, Yang Maha
Kuasa. Wanita yang
baru saja berurusan
denganku ini pastilah
seorang penipu, dan aku
bahkan tidak meminta
alamatnya.”
Dia pergi selama lebih
dari sebulan, hingga
para pedagang mula
mendesakku untuk
membayar wang
mereka dan kerana
sudah terlalu lama
hingga aku sudah tidak
lagi mengharapkan
kedatangannya, aku
mengumpulkan seluruh
kekayaanku untuk
kujual. Tetapi suatu
hari, ketika aku sedang
duduk dengan sedih dan
kebingungan, gadis itu
datang dan duduk di
kedaiku sambil berkata,
“Ambillah timbangan
dan ambil wangmu.”
Lalu dia memberikan
padaku wang seribu
dinar dan kami
berbincang dengan
bebas dan aku merasa
terhibur lagi. Lalu dia
bertanya padaku,
“Apakah engkau
mempunyai isteri?”
Aku menjawab sambil
menangis, “Tidak, aku
belum pernah menikah.”
Dia bertanya, “Mengapa
engkau menangis?”
Aku menjawab, “Tidak
apa-apa.” Lalu aku
merayu pengawalnya
agar menjadi
perantaraku dengannya
untuk menyatakan isi
hatiku. Tetapi pengawal
itu tertawa dan
berkata, “Demi Tuhan,
dia lebih mencintaimu
daripada engkau
mencintainya. Dia tidak
memerlukan kain-kain
yang dibelinya darimu,
tetapi dia melakukan itu
kerana terdorong oleh
rasa cintanya padamu.
Katakan sendiri
kepadanya apa yang
menjadi impianmu.”
Lalu aku mendekati
pelayan gadis itu seraya
berkata padanya,
“Bermurah hatilah dan
izinkan aku untuk
mengatakan padamu
apa yang ada di dalam
benakku supaya engkau
sampaikan kepada
gadis itu.” Lalu aku
mengatakan padanya
apa yang menjadi
hasrat di hatiku dan dia
setuju untuk
menyampaikannya pada
gadis itu.
“Engkau harus
menyampaikan pesanku
padanya,” kataku
sambil meneruskan,
“Lakukan apa saja yang
dia minta.”
Malam berlalu tetapi
mataku tidak terpejam
sedangkan hatiku terus
memikirkan gadis itu.
Beberapa hari kemudian
si pengawal
mendatangiku....
Tiba-tiba fajar pun
menyingsing. Abu
Nawas terdiam, lalu
sang Raja berkata,
“Ceritamu benar-benar
aneh dan indah!” Abu
Nawas menjawab,
“Esok malam ceritanya
lagi menarik dan lagi
indah.”