Kisah Nabi Adam - Halaman 3
April - September 2011
Tetapi Iblis tidak lekas
putus asa. Dia mendapat
kesempatan yang kedua
bertemu dengan Adam
dan Hawa. Segera pula dia
memujuk: "Larangan
Tuhan kepada engkau
berdua memakan buah
Khuldi itu, dimaksudkan
jika engkau berdua adalah
Malaikat. Sedang engkau
berdua bukan Malaikat.
Jadi engkau berdua tidak
terlarang memakannya."
Adam dan Hawa tidak
mengacuhkan pujukan
halus itu. Keduanya
berpaling dan
menjauhkan diri dari Iblis
itu.
Sebagai telah diterangkan,
ketika Iblis terusir dari
Syurga, ia bersumpah
dihadapan Allah bahawa ia
dan anak keturunannya
sampai hari kiamat akan
berusaha menyesatkan
Adam dan anak
keturunannya. Bila ia gagal
dalam usahanya yang
pertama dan kedua, ia
tidak akan berputus asa,
pasti ia akan berusaha
untuk ketiga, keempat
sampai ke sekian juta
kalinya dalam
menyesatkan dan
menggoda manusia Ia
tahu betul, bahawa salah
satu kelemahan manusia
itu, ialah sering lupa. Iblis
menunggu satu waktu, di
mana Adam dan Hawa
sudah lupa akan perintah
Allah yang melarangnya
memakan buah terlarang
itu.
Pada suatu ketika, setelah
diselidikinya, Iblis tahu
betul bahawa Adam dan
Hawa dalam berlengah
lengah kerana kesenangan
di Syurga itu. Dan Iblis
tahu betul bahawa Adam
dan Hawa disaat itu sudah
merasakan agak lapar atau
dahaga. Ia masuk
mendapatkan Adam dan
Hawa setelah ia memetik
sendiri akan buah yang
terlarang itu. Langsung dia
berkata kepada Adam dan
Hawa:
"Makanlah buah ini, demi
Allah, aku ini bukan
memujuk dan
menyesatkan kamu,
melainkan semata mata
memberi nasihat yang
baik, agar kamu berdua
dapat menetap di Syurga
ini untuk selama lamanya.
Makanlah buah ini,
makanlah!"
Mendengar Iblis
bersumpah dengan
menyebut nama Allah,
Adam dan Hawa mulai
berfikir: "Tentu seorang
tak akan berani
bersumpah dengan
menyebut nama Allah
dengan sumpah yang
bohong. Iblis itu tentu
berkata benar." Disaat
Adam dan Hawa mulai
ragu ragu terhadap
kebenaran perkataan Iblis
itu, Iblis menyogokkan
buah Khuldi itu kepada
Adam dan Hawa. Melihat
buah yang ranum dan
harum semerbak itu,
selera Adam dan Hawa
mulai tertarik kepadanya.
Adam dan Hawa lalu lupa
akan larangan Allah yang
melarangnya memakan
buah itu. Buah itu
diambilnya lalu
dimakannya.
Baru saja buah Khuldi itu
masuk ke dalam rongga
perut Adam dan Hawa,
maka lenyaplah pakaian
yang menutup aurat
keduanya, sehingga kedua
suami isteri itu menjadi
telanjang. Kedua duanya
pandang memandang
dengan perasaan malu
yang tidak terhingga.
Keduanya segera
menyembunyikan diri
agar tidak dilihat Allah.
Keduanya memetik dua
helai daun kayu yang
terdapat di dalam Syurga,
untuk menutup aurat
masing masing.
Allah lalu berfirman
kepada Adam: "Hai,
Adam! Apakah engkau lari
dari Aku?"
Jawab Adam: "Bukan aku
lari dari Engkau, ya Allah,
tetapi aku malu dan takut
kepada Engkau."
Berkata Allah: "Bukankah
Aku sudah melarang
kamu berdua memakan
buah itu! Dan Aku katakan
pula, bahawa Iblis itu
adalah musuhmu yang
nyata? Tetapi kenapa
engkau berdua masih
memakan buah yang Aku
larang itu?"
Dengan menundukkan
kepala serendah
rendahnya, Adam dan
Hawa minta ampun dan
taubat kepada Allah: "Ya
Allah Tuhan kami! Kami
sudah aniaya terhadap diri
kami. Kalau Engkau tidak
sudi kiranya mengampuni
dan mengasihani kami,
sungguh kami akan
merugi dan sengsara
berpanjangan."
"Ya, Aku perintah, tapi
engkau berdua melanggar
perintahku," kata Allah
pula.
"Maafkan dan ampunilah
kiranya kami ini, ya
Tuhan," kata Adam dan
Hawa serentak.
Kembali Tuhan berfirman
dengan marah: "Aku telah
beri tempat engkau
berdua di SyurgaKu ini,
dan Aku sediakan segala
apa yang engkau
inginkan. Hanya Aku
larang engkau berdua
memakan buah Khuldi itu.
Apakah buah Khuldi itu
lebih berharga bagi
engkau berdua daripada
Syurga dengan segala
isinya ini?"
Sahut Adam: "Sungguh
tak aku kira Tuhan, Iblis
berani berkata bohong
kepadaku dengan
menyebut namaMu."
Allah lalu memutuskan
dengan firmanNya: "Demi
kemuliaanKu. Engkau
berdua harus
meninggalkan Syurga ini,
turun ke bumi yang
sudah lama terbentang, di
mana engkau berdua juga
dapat hidup, tetapi harus
dengan bersusah payah,
dan dengan mencucurkan
keringat, kadang-kadang
juga airmata."
Dengan mata berlinang,
sedih dan takut, Adam
bersimpuh menundukkan
kepala di hadapan Tuhan
minta ampun: "Tuhanku!
Tuhanku! Ampunilah aku,
ampuni aku."
Terhadap Adam, Hawa
dan Iblis, Allah
menetapkan putusan
yang tak dapat di robah
lagi dengan berfirman:
"Kamu semua harus
turun ke bumi. Disanalah
tempatnya bagi kamu
untuk hidup bermusuh
musuhan, tipu menipu,
perdaya memperdayakan,
berhasad dan dengki. Aku
beri kesempatan kepada
masing masing kamu
untuk hidup di bumi ini di
dalam waktu yang
terbatas, juga dengan
segala macam
kesenangan dan
kesusahan yang terbatas
pula. Nanti akan datang
ajal kepada masing
masing kamu, lalu masing
masing kamu akan Aku
panggil kembali kepadaKu,
untuk mempertanggung
jawabkan apa yang kamu
sudah lakukan selama
hidup dimuka bumi itu."
Airmata semakin banyak
jatuh bercucuran dari
mata Adam dan Hawa.
Keduanya menangis
tersedu sedu, sambil
menanggungkan sesal
yang tidak terkira
hebatnya atas kesalahan,
lantaran godaan Iblis.
Kepada Adam dan Hawa
kembali Allah berfirman:
"Di bumi, kamu akan
selalu didatangi dan
digoda oleh Iblis dan
semua anak cucu dan
kakitangannya. Di bumi,
kamu akan menghadapi
perjuangan yang berat
menghadapi mereka.
Tetapi kamu jangan takut.
Kepadamu dan anak
cucumu akan Aku
turunkan petunjuk
petunjuk (ajaran-ajaran
agama). Siapa diantara
kamu dan anak cucumu
itu yang senantiasa
mengikuti petunjukKu itu,
dia tidak akan tersesat dan
tidak akan sengsara."
Tidak lama kemudian,
tibalah Adam dan Hawa
dipermukaan bumi yang
fana. Diterimanyalah
wahyu Ilahi yang pertama
yang menyatakan,
bahawa Allah sudah
berkenan mengampuni
dosa dan menerima
taubat Adam dan Hawa.
Sungguh Allah suka
memberi ampunan dan
taubat bagi siapa saja di
antara hambaNya yang
merasa dirinya bersalah
dan suka minta ampun
dan taubat
Cerita Adam yang
memakan buah terlarang,
lalu dikeluarkan dari
Syurga dan ditempatkan
di bumi ini, sudah
menyesatkan banyak
manusia dari dahulu
sampai sekarang. Mereka
katakan bahawa dengan
perbuatan Adam itu maka
dia sudah berdosa
sebesar besar dosa,
sehingga Adam diusir
Allah ke bumi ini. Bahkan
bukan hanya Adam dan
Hawa saja yang berdosa
besar, melainkan juga
seluruh anak
keturunannya sampai hari
kiamat. Demikian hebat
dan besarnya dosa Adam
dan keturunannya dengan
kesalahan tersebut, tidak
dapat diampuni begitu
saja, sehingga Allah
kerana kasihNya,
menjelma menjadi anak
manusia melalui perut
seorang wanita, lalu mati
di tiang salib untuk
menebus dosa tersebut.
Untuk menghindarkan
manusia dari kesesatan
yang nyata ini, Allah telah
mengutus RasulNya yang
terakhir, iaitu Muhammad
s.a.w., untuk
menyampaikan wahyu
wahyu dari Allah, iaitu al-
Quran. Berulang kali
dalam al-Quran, Allah
menyatakan bahawa
Adam melanggar perintah
Allah itu, adalah semata
mata kerana terlupa sama
sekali bukan kerana
sengaja. Sebab itu, Adam
dianggap Allah hanya
tersalah, dan bukan
berdosa yang tidak
terampun. Semua
kesalahan yang dilakukan
manusia kerana lupa,
tidaklah dianggap Allah
sebagai dosa. Apalagi
kesalahan Adam ini hanya
sekadar memakan sebiji
buah, tidaklah dapat
dianggap sebagai
kesalahan besar,
melainkan hanya suatu
kesalahan yang amat kecil
dan kecil sekali.
Tetapi bagaimanapun
kecilnya kesalahan ini,
kerana kesucian dan
kesedarannya yang amat
tinggi itu, Adam sangat
menyesal, Adam
mengeluh, Adam minta
ampun dan taubat.
Seorang yang dapat
menyedari akan
kesalahannya, bukanlah
orang yang berdosa,
melainkan seorang yang
amat mulia, seorang yang
amat suci.
Berulangkali pula didalam
al-Quran diterangkan,
bahawa Allah sudah
berkenan mengampuni
kesalahan Adam yang
kecil itu. Bahkan bukan
hanya diampuni dan
diberi taubat saja oleh
Allah, melainkan kerana
kesedarannya dan
penyesalannya itu, Adam
menjadi manusia yang
terpilih, diberi petunjuk
dan diangkat Allah
menjadi Nabi. Adalah
suatu kesesatan yang
nyata, menganggap
seorang Nabi orang
berdosa.
Begitu pun tentang
dikeluarkannya Adam dan
Hawa dari Syurga, lalu
dipindahkan dan
ditempatkan di bumi ini,
bukanlah menunjukkan
bahawa Adam berdosa.
Kerana bukankah telah
diterangkan bahawa
sebelum Adam
melakukan pelanggaran
tersebut, Allah sudah
menyatakan kepada
seluruh Malaikat, bahawa
Adam itu diciptakan Allah
untuk menjadi Khalifah di
bumi ini. Ertinya bahawa
Adam dan anak cucunya,
diciptakan Allah untuk
menghuni bumi yang
sudah terbentang luas.
Adalah suatu kesesatan
yang nyata pula, kalau di
katakan bahawa manusia
ditempatkan di bumi ini,
kerana dosa dan
kesalahan yang telah
diperbuat Adam dan
Hawa. Umat Islam harus
membersihkan diri dari
kesesatan yang nyata ini.
Adam menurut ajaran
agama kita Islam, selain
manusia pertama, juga
seorang Nabi dan Rasul.
Kita umat Islam
diwajibkan beriman
kepada semua Nabi dan
Rasul, serta mempercayai
bahawa setiap Nabi dan
Rasul itu harus bersih dari
segala dosa, sekalipun
sebagai manusia mungkin
saja tersalah, iaitu kerana
lupa dan lain lain.
Kesalahan bukan dosa.
Nabi nabi dan Rasul rasul
yang lain pun pernah pula
tersalah karena lupa. Nabi
Muhammad s.a.w.
pernah tersalah, iaitu
mengakhiri sembahyang
asar yang seharusnya
empat rakaat, sesudah
beliau baru saja
melakukannya dua rakaat.
Setelah diperingatkan oleh
para Sahabat yang
menjadi makmumnya,
barulah beliau sedar, dan
beliau langsung
meneruskan sembahyang
tersebut sampai empat
rakaat.
Lebih hebat lagi kesesatan
sebahagian manusia yang
mengatakan bahawa:
kesalahan Adam itu
menjadi dosa pula bagi
semua anak cucunya
sampai hari kiamat, yang
mereka katakan dosa asal.
Padahal semua manusia
yang baru lahir, bersih
dari segala dosa, sekalipun
ibu bapanya berdosa atau
bersalah. Tidaklah adil dan
patut kalau seorang ibu
atau bapa berdosa, lalu
anaknya dianggap
berdosa pula karena dosa
ibu dan bapanya itu. Dosa
itu baru timbul sesudah
seorang anak menjadi
baligh dan berakal (aqil
baligh), kerana
perbuatannya sendiri.
Alangkah hebatnya dosa
orang yang membawa
manusia kepada agama
kepercayaannya yang
setiap waktu secara
berulangkali mengatakan
bahawa Nabi Adam
berdosa.
Mengambinghitamkan
seorang manusia suci,
Nabi dan Rasul, iaitu
Adam, untuk
mendapatkan pengikut,
bukanlah suatu perbuatan
yang suci, melainkan
sebaliknya, suatu
perbuatan yang tercela
dan berdosa pula.
Kisah Adam yang
demikian itu disampaikan
Allah kepada manusia
dengan perantaraan Kitab
SuciNya al-Quran, adalah
sebagai pelajaran dan
peringatan bahawa kita
manusia sekalipun
makhluk terbaik dan mulia
tetapi tetap mempunyai
kelemahan. Diantara
kelemahan manusia itu
ialah sifat pelupa. Dan
disaat kita lupa itu, kita
dapat diperdayakan dan
disesatkan oleh Iblis.
Hendaknya berhati hati
sekali jangan sampai
dapat disesatkan oleh Iblis
itu.